Sunday, March 29, 2009

Alam kubur perhentian sebelum kehidupan abadi di akhirat

Oleh Masmawi Abdullah

MANUSIA di dunia ini ibarat musafir yang sedang dalam perjalanan lalu berehat di bawah sepohon pokok untuk melepaskan lelah dan berehat seketika sebelum meneruskan ke destinasi yang hendak dituju.

Perjalanan itu pula masih jauh dan terpaksa melalui pelbagai liku serta cabaran. Inilah gambaran matlamat sebenar hidup insan yang hendak dicapai. Pentas dunia hanya tempat untuk bercucuk tanam dengan amalan salih sebagai bekalan di akhirat nanti.

Sebelum manusia berpindah ke alam akhirat mereka akan menempuh satu alam dinamakan alam barzakh dan di sana mereka akan menjawab soalan ditujukan malaikat kepada mereka. Di sinilah penentu kejayaan di alam akhirat nanti sama ada manusia itu akan masuk ke syurga atau neraka.

Persoalan kubur termasuk dalam pokok keimanan terhadap alam ghaib seperti mana kita wajib percaya akan adanya syurga, neraka, malaikat dan hari kiamat. Dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang sahih banyak diterangkan perkara di atas yang menuntut setiap orang meyakini adanya alam selepas kehidupan duniawi.

Ia dikenali dengan perkara ‘sam’iyat’ iaitu perkara yang hanya diketahui melalui perkhabaran, tidak dapat dilihat oleh mata dan tidak terfikir akal. Beriman kepada alam ghaib adalah ciri orang beriman.

Allah berfirman yang bermaksud: “Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (mengenai datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya), ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang beriman kepada perkara ghaib dan mendirikan solat serta membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang kami berikan kepada mereka.”

Walaupun ada sesetengah agama mempercayai adanya kebangkitan selepas kematian di alam roh tetapi mereka menyeleweng daripada konsep dipegang Islam. Sebahagian lagi terus kufur dan menolak kerana mereka berdasarkan logik serta akal fikiran semata-mata, menganggap bahawa hidup hanya di atas dunia ini saja.

Golongan itu dijelaskan Allah dalam firman yang bermaksud:

“Dan tidakkah manusia fikirkan bahawa Kami jadikan dia dari setitik mani, tetapi tiba-tiba ia (jadi) pembantah yang nyata.” - (Surah Yasin, ayat 77)

Kesimpulan yang boleh dibuat manusia di dunia ini diklasifikasikan dalam tiga golongan iaitu mereka yang beriman dengan adanya alam ghaib melalui as-samiyat, percaya ada alam ghaib berdasarkan kepercayaan dan kufur dengan alam ghaib.

Kubur adalah perhentian pertama setelah seorang hamba itu meninggal dunia dan kemudian tempatkan di alam arwah sehingga hari kiamat. Di sinilah penentuan kebahagiaan kecelakaan yang abadi.

Hadis Abi Said mengatakan, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Kubur itu adalah salah satu lubang neraka, atau salah satu taman syurga.”

Adapun arwah orang yang beriman akan sentiasa dalam rahmat dan peliharaan Allah tidak kira di mana mereka berada. Bagaimanakah seseorang itu akan menghadapi persoalan kubur?

Adapun roh orang yang beriman dijelaskan Allah dalam firman yang bermaksud:

“Setelah menerangkan akibat orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang beriman dan beramal salih akan disambut dengan kata-kata: Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya, kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan), lagi diredai (di sisi Tuhanmu). Serta masuklah dalam kumpulan hamba-Ku yang berbahagia, dan masuklah ke dalam syurga-Ku.” - (Surah al-Fajar, ayat 27-30)

Kemudian apabila seseorang hamba Allah meninggal dunia, selepas dikebumikan dan ditinggalkan kuburnya lalu datanglah dua malaikat iaitu Mungkar dan Nakir yang ditugaskan untuk menyoalnya.

Jika ia beriman dan beramal salih, maka diberikan taufik oleh Allah menjawab persoalan dengan mudah. Kemudian dibuka baginya pintu syurga dan diperlihatkan syurga ke atasnya dan berbahagialah dia sehingga hari kiamat.

Namun jika orang itu kafir atau munafik, mereka akan menjawab tidak tahu. Lalu akan menerima seksaan kubur yang dahsyat. Suara teriak mereka dapat didengar oleh makhluk lain kecuali manusia dan jin.

Menurut Syeikh Abdullah Al-Fattani dalam bukunya Kasful Qhummah, roh Nabi, syuhada, muttaqin, salihin akan diangkat oleh malaikat ke langit selepas selesai tanya jawab dengan malaikat Mungkar dan Nakir.

Kemudian di angkat ke langit kedua, ketiga, keempat dan seterusnya ketujuh hingga ke Sidratul Muntaha dan di bawa ke Arasy Tuhan. Di sinilah mereka akan ditempatkan dan hidup dengan senang serta bahagia sehingga tiba hari kiamat.

Persoalan kubur tidak terkecuali bagi setiap orang yang meninggal dunia sama ada mereka mati di bumi, laut atau angkasa. Mengenai gambaran azab dan seksa kubur itu dalam pelbagai cara seperti dijelaskan ulama.

Bagaimanapun kita tidak banyak mengetahui rahsia alam roh melainkan apa yang diceritakan al-Quran dan hadis kerana ia adalah urusan Allah. Apabila seseorang berpindah ke alam baqa, bermakna terputuslah segala hubungan dan amalannya di dunia ini melainkan sedekah jariah, ilmu bermanfaat, anak soleh dan juga doa daripada kaum kerabatnya di dunia ini.

Riwayat daripada Ad-Dailami ada menyebut yang bermaksud: “Orang yang mati dalam kuburnya adalah seperti orang sedang tenggelam yang meminta pertolongan. Ia menunggu sampai kepadanya (rahmat) sesuatu doa daripada anaknya, atau saudaranya ataupun sahabat handainya. Apabila (rahmat) doa itu sampai kepadanya, maka tidaklah terkira sukacitanya dan dirasainya ‘rahmat doa itu’ lebih berharga daripada dunia dan segala isinya. Sebenarnya hadiah orang yang hidup kepada orang mati ialah doa dan istighfar.”

Alam sesudah mati ini memberi peringatan bahawa tidak selamanya kita akan kekal di muka bumi ini. Lambat laun kita juga mengikut jejak langkah mereka yang dulu menempuh alam barzakh. Semoga ia memberi keinsafan kepada kita untuk menyediakan bekalan terbaik untuk bekalan akhirat.

Doa, sabar perisai kemanisan hadapi kesukaran

Al-Quran terkandung pelbagai hikmah supaya manusia mudah terima hidayah

c4quran10c.jpgTAUFIK dan hidayah adalah anugerah Allah ke atas hamba-Nya. Muslim wajib meyakini pintu hidayah sentiasa terbuka di sisi Allah untuk sekalian makhluk-Nya. Hidayah Allah apabila ‘mengetuk pintu hati’ seseorang, nescaya pasti menjadi lembut dan senang menerima nasihat, teguran serta bimbingan atas dasar agama.

Kisah Saidina Umar yang terkenal dengan sifat bengis sebelum memeluk Islam, bertukar watak sebagai pembela Islam yang agung selepas mendengar bacaan ayat suci al-Quran. Itulah anugerah besar yang tidak dapat dihitung nilainya selepas mendapat hidayah daripada Allah.

Allah menurunkan al-Quran kepada Nabi SAW untuk panduan seluruh umatnya supaya mereka lembut hati tatkala membacanya, mendengar dan memahaminya. Semua itu terkandung hikmah supaya manusia mudah mendapat hidayah Allah.

Firman Allah bermaksud:

“Allah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (mengenai benarnya dan indahnya) yang berulang (keterangannya dengan pelbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah.

“Kitab suci itu hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.” (Surah az-Zumar, ayat 23)

Imam al-Mawardy dalam tafsirnya menyatakan orang mendengar bacaan al-Quran atau membacanya, tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah dalam tiga keadaan :

  • Apabila mereka membacanya atau mendengarkan bacaan ayat suci al-Quran serta memahami maksud ayat itu yang memberi gambaran janji neraka bagi mereka yang ingkar pada perintah Allah dan khabar gembira dengan janji syurga bagi mereka yang patuh pada perintah-Nya (Imam As-Suddy)
  • Terpahat dalam hati perasaan khauf (takut) dan raja’ (pengharapan) yang tinggi kepada Allah.
  • Tersemat dalam lubuk hati mereka keagungan al-Quran dan lembut hati mereka ketika membacanya.

Hari ini, umat Islam dipaparkan dengan kezaliman yang berlaku terhadap saudara mereka. Penindasan dan keganasan boleh diungkapkan dengan pepatah, ‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’. Doa umat Islam di seluruh dunia dengan iringan tangisan adalah pengorbanan kecil berbanding kesusahan yang dihadapi umat Islam di Palestin. Menangis adalah cara yang boleh melembutkan jiwa dan hati.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Janganlah kamu masuk (melihat) suatu kaum yang ditimpa azab, melainkan engkau menangis (melihat keadaan mereka), apabila engkau tidak mampu menangis, maka hendaklah engkau berpura-pura menangis sebagai kebimbangan (pengajaran) di atas kamu nanti akan ditimpakan musibah (azab yang sama) yang menimpa mereka.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Runtunan emosi perlu diiringi doa supaya Allah sentiasa mencampakkan kemanisan iman dan kesabaran yang terus segar dan harum menghadapi bencana dicipta musuh. Nabi SAW mengajar umatnya meletakkan kesabaran menghadapi kesulitan dan kepayahan angkara musuh.

Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam apabila mendapat bala dan seksaan daripada orang lain supaya berdoa. Sabda Baginda yang bermaksud:

“Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah Bin Mas’ud katanya, aku masih terbayang Rasulullah SAW menceritakan mengenai seorang nabi daripada nabi sebelum Rasulullah yang diseksa (dipukul) oleh kaumnya sehingga berlumuran darah. Dia mengesat darah di mukanya sambil membaca doa yang bermaksud: Ya Allah, ampunilah kaumku, kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Umat Islam juga diberi peringatan oleh Rasulullah SAW bahawa setiap manusia tidak terlepas daripada malapetaka dan kesusahan dalam kehidupan seharian. Allah akan menghapuskan dosa seseorang yang menghadapi kesusahan dengan penuh kesabaran.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Daripada Abu Said dan Abu Hurairah katanya: Tiada seorang Muslim pun yang tidak mengalami penderitaan, keseksaan, kebimbangan, dukacita, kemelaratan dan kesedihan sehingga cucukan duri yang mengenai dirinya melainkan dihapuskan oleh Allah daripada kesalahannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Jalan-jalan keberkatan

MANUSIA memang mencari keberkatan. Kerana keberkatan memberikan kepuasan. Kepuasan pada hati sehingga mententeramkan jiwa, melegakan emosi dan menenangkan minda. Tanpa keberkatan, maka manusia tidak merasa lega dan puas. Bak mereguk air laut kala dahaga, makin diminum makin haus jadinya.

Allah SWT menyatakan yang bermaksud:

Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: ‘Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun’. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. (al-Baqarah: 155 - 157)

Betapa bertuahnya orang Islam, kerana Allah SWT telah memberikan suatu cara bagi mendapat berkat pada harta. Bahkan, ia membuka jalan keberkatan pada hidup dan keluarga. Itulah namanya sedekah, infak dan zakat. Berkat pada zakat misalnya, amat besar kesannya.

Ia bisa menatijahkan kesejahteraan yang berpanjangan walau di mana sahaja kita berada. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya harta itu manis lagi menawan. Sesiapa yang mengambilnya dengan cara yang benar, diberkati padanya,” (Sebahagian hadis Riwayat Ahmad)

Berkat pada zakat ibarat baja pada pokok. Fungsi baja menyuburkan pokok, agar pokok yang ditanam hidup subur, tegak menjulang ke langit dan akarnya kuat mencengkam bumi. Dahannya kukuh dan rantingnya tidak rapuh. Daunnya subur hijau merimbun dan meneduhkan. Paling akhir, pokok itu akan berbunga dan berbuah lebat, masak meranum dan mengenyangkan ramai orang.

Maka, demikianlah fungsi zakat pada harta manusia. Zakat memberikan kesuburan kepada harta. Kesuburan dalam bentuk yang tidak nampak lahiriahnya, namun ditandai dengan pelbagai perkara. Harta kita tidak cepat rosak, tahan bertahun lamanya diguna. Ia juga memberikan manfaat kepada ramai orang.

Harta-harta kita juga terselamat daripada nafsu rakus manusia, tidak dicuri dan disamun. Bahkan harta itu juga dapat membawa kita kepada jalan mendekati Allah SWT; bukan sebaliknya. Rasulullah SAW pernah memperihalkan harta dan keberkatannya. Kata nabi:

“Kawallah keselamatan harta benda kamu dengan benteng- benteng zakat”. (riwayat Abu Daud)

Terdapat beberapa kaedah yang tepat untuk beroleh berkat pada harta, iaitu :

  • Memastikan harta yang diperoleh itu menerusi jalan yang halal lagi berkat. Ini kerana jika jalannya halal namun tidak menjaga syariat yang lain, misalnya sengaja membuka aurat atau meninggalkan solat, maka rezeki itu halal tetapi tidak berkat.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu. (al-Baqarah: 168)

  • Memastikan amanah harta ditunaikan secara sepatutnya. Amanah harta antara lain ialah menyalurkannya kepada tanggungan kita yang berhak, misalnya kepada ibu bapa dan anak isteri. Amanah harta juga ialah memastikan ia tidak disalah guna, misalnya dibelanjakan ke meja judi atau membeli keseronokan duniawi semata-mata. Infak, zakat dan sedekah juga adalah amanah harta.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. (ali-’Imran: 92)

  • Menunaikan hak yang wujud pada harta dengan ikhlas tanpa riak dan sombong. Ini kerana, Allah SWT amat membenci golongan yang memberi tetapi hatinya diselaputi rasa sombong, perasaannya penuh riak dan mengharapkan pujian daripada orang.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, dan teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri. (an-Nisa’: 36)

Sudah jelas kepada kita, bahawa Islam mendidik kita agar berhemah dalam kehidupan. Anjuran Islam sama ada supaya kita suka berderma, bersedekah, berinfak dan berzakat, hakikatnya adalah demi kebaikan kita kembali. Ini kerana, itu adalah jalan menuju kesejahteraan hakiki.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertakwa, dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), maka Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah. (al-Lail: 5 - 7)

Maka, terpulanglah kepada kita cara untuk mengambil keberkatan itu. Petunjuk sudah di hadapan, tinggal kaki melangkah membuat pilihan. Wallahua’lam.

Words of Great Wisdom

"I am a traveler seeking the truth, a human searching for the meaning of humanity and a citizen seeking dignity, freedom, stability and welfare under the shade of Islam. I am a free man who is aware of the purpose of his existence and who proclaims: “Truly, my prayer and my sacrifice, my living and my dying are all for Allah, the Lord of the worlds; no partner has He. This, am I commanded and I am of those who submit to His Will.” This is who I am. Who are you?"

(Hassan al-Banna)

"Janganlah engkau merasa seolah-olah umurmu masih panjang kerana lamunan seperti itu banyak membawa kepada ajal..."

(Syair)

MUTIARA KATA

"Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu."

(Imam Nawawi)

"Membiarkan orang lain sahaja yang bermotivasi dalam memperolehi pahala bukanlah sifat orang beriman. Jangan biarkan kata-kata negatif orang terhadap sesuatu yang baik untuk akhirat anda, membantutkan semangat. Jadikan ia pendorong dan motivasi..."

(Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman)

Berpesan, beri nasihat akhlak orang beriman

NASIHAT menasihati dan berpesan ke arah kebaikan sudah menjadi budaya hidup manusia. Namun, dalam Islam, nasihat memang tidak dapat dipisahkan daripada ajarannya kerana Islam adalah al-Din yang bercirikan nasihat.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Agama itu nasihat. Agama itu nasihat. Agama itu nasihat. Maka sahabat pun bertanya: Kepada siapa? Jawab Baginda: Kepada Allah, kepada Kitab-Nya, kepada Rasul-Nya, kepada pemimpin kaum muslimin dan juga orang awam muslimin.” (Hadis riwayat Muslim)

Lebih menariknya, amalan nasihat termasuk antara amalan penyelamat seseorang daripada terjerumus ke lembah kerugian.

Firman Allah bermaksud:

“Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.” (Surah al-’Asr, ayat 1-3)

Maksud ayat suci itu menyimpulkan antara ciri orang yang beriman kepada Allah ialah sentiasa berpesan atau nasihat-menasihat ke arah kebaikan dan kesejahteraan.

Tidak dapat dinafikan, manusia tidak boleh hidup bersendirian, jauh daripada kelompok masyarakat ramai.

Justeru, hidup bermasyarakat menjamin kerukunan dan keharmonian sejagat. Untuk itu, nasihat menasihat sewajarnya dijulang supaya yang benar dan hak dapat dijunjung tinggi bersama, sementara yang salah dan batil pula sama-sama dijauhi.

Demikianlah hidup bermasyarakat yang seiring jalan sejajar pepatah orang tua ‘duduk seorang bersempit-sempit, duduk ramai berlapang-lapang. Maka, terserlah Islam adalah agama nasihat dan seluruh ruang lingkup Islam adalah nasihat.

Bagaimanapun, ada segelintir manusia yang melenting atau marah apabila diberi nasihat dengan alasan dia insan bijak dan pandai dalam segala bidang. Sedangkan, manusia dengan kesempurnaan kejadiannya dan keistimewaannya, selamanya tidak terlepas daripada melakukan kesilapan serta kesalahan kerana itu sifat semula yang diciptakan Allah.

Justeru, setiap insan berhajatkan kepada nasihat untuk kembali kepada landasan yang benar dan insaf dengan kekerdilan serta kedaifan manusia itu sendiri di hadapan Allah SWT.

Merujuk kepada hadis berkisar mengenai Islam sebagai agama nasihat, Rasulullah SAW membahagikan nasihat kepada beberapa jenis yang sewajarnya diterapkan penghayatannya dalam rentak kehidupan seharian iaitu:

Nasihat kepada Allah yang melahirkan Muslim bertakwa kepada-Nya.

Setiap Muslim wajib beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman yang tidak terselit sebarang rasa syak dan ragu yang boleh mencacatkan hubungannya dengan Allah.

Pada masa sama, setiap Muslim dituntut patuh dan tunduk kepada segala perintah Ilahi serta menjauhi larangan-Nya.

Lebih penting, pengisian iman dalam sudut jiwa akan menginsafkan setiap insan dari mana dia datang, untuk apa dia hidup di dunia ini dan ke mana pula dia akan kembali.

Iman juga akan menimbulkan kesedaran setiap insan yang bernyawa bahawa sesudah hidup di dunia ini ada lagi kehidupan kekal yang pasti dilalui.

Pendek kata, iman adalah harta tidak ternilai yang wajib diburu dan dijejaki setiap insan di dunia ini supaya berbahagia di dunia dan akhirat. Seterusnya, kecintaan kepada Allah hendaklah mengatasi kecintaan kepada dunia, isteri dan anak.

Nasihat kepada Kitab-Nya pula bermakna menjulang al-Quran sebagai rujukan utama dalam menyampaikan pedoman dan panduan hidup Muslim seharian. Ia mengandungi hukum-hakam, petunjuk serta peringatan kepada orang beriman kepada Allah.

Oleh itu, setiap Muslim dituntut mempraktikkan segala ajaran terkandung dalamnya, tidak cukup sekadar membacanya dan mengetahui hukum-hakamnya, tetapi diterjemahkan dalam kehidupan.

Nasihat kepada Rasul-Nya pula bererti meyakini kebenaran perutusan Rasulullah SAW untuk membawa rahmat untuk alam semesta.

Setiap Muslim wajib menerima segala apa dibawa olehnya sebagai ketaatan mutlak kepada Allah dan berkewajipan menghidupkan sunnah Rasulullah SAW, membanteras segala bentuk bid’ah, khurafat serta ajaran sesat yang bertentangan dengan syarak.

Apabila ada kesepaduan kecintaan kepada Allah dan Rasulullah SAW, natijahnya seorang Muslim akan dapat mengecapi nikmat kemanisan iman dalam hatinya.

Nasihat kepada pemimpin Muslim pula, kita sebagai rakyat hendaklah memberi sumbangan bermakna kepada kerajaan apabila kerajaan melaksanakan rancangan dan program yang memberi kebaikan serta faedah untuk rakyat.

Sebaliknya, jika pemimpin melakukan sesuatu menyebabkan kehancuran dan kemusnahan kepada negara, maka rakyat berhak menegur serta memberi nasihat yang membina dalam usaha mengelak negara daripada terjerumus ke lembah kebinasaan.

Ini penting bagi menjamin kerukunan, kesejahteraan serta keharmonian kalangan rakyat dengan kerajaan.

Khalifah Abu Bakar al-Siddiq ketika menyampaikan ucapan dasarnya berkata: “Apabila aku melakukan sesuatu yang betul maka bantulah aku, dan apabila aku menyeleweng maka perbetulkan daku.”

Akhirnya, nasihat kepada umat Islam seluruhnya mencerminkan kesatuan hati dan keserasian jiwa orang Islam dalam menelusuri titian hidup penuh pancaroba.

Nasihat ini termasuk dalam segala tindak tanduk dan kegiatan kemasyarakatan supaya ia selari dengan landasan Islam.

Ia merangkumi hubungan institusi kekeluargaan, sesama jiran, masyarakat dan juga dalam pelbagai lapangan hidup manusia.

Ringkasnya, nasihat memainkan peranan penting kerana ia bakal menyuburkan perasaan kasih sayang dan kerjasama yang erat sesama anggota masyarakat bagi mengekalkan kelangsungan masyarakat yang harmoni lagi sejahtera.

Demikianlah indahnya konsep nasihat menasihat dalam Islam yang mencorakkan identiti sebuah masyarakat Islam yang sejahtera lagi harmoni.

Natijahnya, kesatuan ummah dapat dijana di samping pengukuhan iman kepada Allah selain perhiasan ketrampilan akhlak

Islam terukir indah pada keperibadian Muslim. Dengan adunan istimewa ini, barulah umat Islam mampu memartabatkan kembali keunggulan dan kecemerlangan dalam segala lapangan hidup sebagaimana pernah dirintis generasi Rasulullah SAW dan generasi sahabat.

Tuesday, March 24, 2009

Hanya kerana pencungkil gigi

Di riwayatkan begini.....

Semasa Nabi Isa berjalan di satu kawasan perkuburan, ia terdengar suara dari dalam satu kubur suara lelaki yang menjerit-jerit meminta tolong dan dalam kesakitan yang amat sangat... Nabi Isa ingin mengetahui apakah yang telah terjadi kepadanya Sebagaimana yang kita tahu nabi Allah Isa mempunyai mukjizat boleh menghidupkan orang yang sudah mati. Maka nabi Allah Isa pun memohon doa kepada Allah SWT sambil menadahkan tangannya ke langit supaya menghidupkan lelaki tersebut.

Doanya dimakbul oleh Allah SWT, maka terbelah kubur itu dan keluarlah seorang lelaki yang sedang terbakar menjerit-jerit meminta tolong. Melihat akan keadaan lelaki tersebut, maka ditanya oleh nabi Isa kepada lelaki itu apakah kamu tidak sembahyang sehingga kamu diseksa sebegini. lelaki itu menjawab.. bahawa ia tidak meninggalkan sembahyang. ditanya lagi oleh nabi Isa adakah kamu tidak berpuasa.. lelaki itu menjawab... saya berpuasa dan lelaki itu pun berkata sesungguhnya ia taat akan perintah Allah SWT....

Maka ditanya oleh nabi Isa lagi apakah yang kamu lakukan sehingga kamu diseksa sebegitu rupa? Maka berceritalah lelaki itu... Saya bekerja sebagai penjual kayu api dan saya akan mencari kayu api di hutan dan menjualkannya kepada sesiapa yang hendak membelinya.

Maka pada suatu hari datanglah seorang pembeli menemuinya utk membeli kayu api lalu diberinya wang dan disuruhnya hantar ke rumahnya . Maka pergilah saya mencari kayu dihutan dan apabila sudah dapat seberkas kayu di ikatnya elok-elok dan pergi lah saya hendak menghantar ke rumah si pembeli itu..

Dipertengahan jalan, saya merasa lapar dan teruslah saya berhenti untuk makan..... selepas itu saya pun meneruskan perjalanan ke rumah pembeli kayu itu. Sedang saya berjalan, saya terasa ada sisa makanan yang terselit dicelah gigi saya. maka dicuba berbagai cara mengeluarkannya dgn lidah tetapi tak berjaya.... kemudian dicubanya dengan menggunakan kukunya...tetapi tak berjaya juga. Akhirnya saya pun dengan menggunakan kuku saya mencungkil kayu api yang dipikul itu utk dibuat mencungkil gigi.

Maka akhirnya dapatlah mengeluarkannya. Maka saya teruskan perjalanan dan setelah sampai ke rumah si pembeli itu, saya pun menyerahkan kayu api itu dan terus pulang. Oleh kerana saya tidak meminta halal akan kayu yang saya cungkil dengan kuku saya tu, maka saya diseksa selama 70 tahun sebagaimana yang tuan lihat. Saya menyangka Allah tidak melihat akan perkara yang sekecil ini.... astaghfirullah al azim...
elok lah kita ambil ikhtibar akan riwayat ini...

Adakah kita pernah mengambil barang-barang drpd office samada drpd sekecil-kecilnya seperti paper clip, eraser dan sebagainya dan dibawa balik ke rumah untuk digunakan sendiri ataupun diberikan kepada anak-anak kita ???

Dan juga barang-barang orang lain yang kita pinjam tetapi tidak dikembalikan? Sekecil-kecil barang seperti tupperware, kaset dan sebagainya.. ..?

Ini belum kira mencuri masa pejabat untuk kegiatan peribadi.

Sesungguhnya takutlah kita akan azab Allah kerana mati itu adalah benar...
Azab neraka itu adalah benar...
Dan syurga itu adalah benar...

Wassalam...