Sunday, March 29, 2009

Niat ikhlas hapus empat perkara halang manusia beribadat

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

KEIKHLASAN hati dan jiwa melakukan ibadat kepada Allah adalah kemuncak kepada kemurnian nurani seseorang kerana dengan sifat ikhlas saja mampu menghalang daripada perkara yang menghadang diri untuk beristiqamah. Ulama besar al-Imam Ghazali menyatakan ada empat perkara besar yang selalu menjadi penghalang untuk beribadat kepada Allah iaitu dunia, makhluk, nafsu dan syaitan. Jika diteliti maksud dunia seperti diperkatakan ilmu tasauf merangkumi semua perkara yang tidak memberi manfaat apabila seseorang kembali ke hadrat Ilahi seperti wang, harta menimbun atau pangkat.

Setiap amalan bermula dengan niat. Justeru, jika niat kerana Allah maka amalan menjadi ibadat, tetapi ia hanya adat jika sebaliknya. Setiap perbuatan harus disertai niat untuk mendapat keredaan Allah.

Keduanya ialah gangguan dan halangan makhluk Allah termasuk anak, binatang ternakan dan harta yang boleh melalaikan manusia sehingga lupa kewajipan menunaikan ibadat wajib serta sunat.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak pinak kamu itu adalah ujian kepada kamu.” (Surah al-Anfal, ayat 28)

Harta apabila sudah menimbun, ada kalanya menjadikan seseorang hamba kepada hartanya. Malah, ada yang sanggup meninggalkan tanggungjawab mengerjakan solat kerana terlalu menjaga harta benda. Ada juga ibu bapa yang melewatkan solat atau tidak mengerjakannya pada tempoh difardukan semata-mata melayan kerenah serta tuntutan anak.

Ketiganya ialah keinginan atau lebih dikenali sebagai nafsu yang sentiasa merajai diri. Penghalang dalam diri ini yang selalu sukar dilawan hingga terus tumbuh dan menyubur dalam diri setiap insan.

Manusia sering tunduk serta tewas dengan kehendak nafsu sendiri sehingga terpedaya dengan bisikan supaya meninggalkan tanggungjawab terhadap Allah. Ada pula meninggalkan solat dan puasa fardu semata-mata memenuhi dan menghormati undangan rakan.

Tidak kurang yang meninggalkan solat fardu kerana memenuhi tuntutan tugas yang memerlukan mereka sentiasa bergerak atau berada lebih lama di tempat duduk menyudahkan tugasan diberi seolah-olah sudah tiada masa lagi untuk menyiapkannya.

Keempat adalah desakan iblis dan syaitan yang sentiasa menggoda dengan tipu daya supaya manusia mengikut mereka ke arah kesesatan sehingga hari kiamat. Godaan itu datang dengan pelbagai cara dan rupa.

Ketika solat juga syaitan terus menggoda hamba Allah supaya hilang tumpuan dan kerja mereka menjadi lebih mudah apabila manusia dalam keadaan leka.

Rasulullah SAW mengajarkan doa yang bermaksud: “Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan aku berlindung dengan Allah daripada kehadiran syaitan itu kepadaku.”

Pernah suatu ketika Aisyah, isteri Baginda Rasulullah SAW dalam keadaan marah. Melihatkan hal itu lalu Rasulullah SAW menegur isterinya dengan berkata: “Wahai Aisyah, kamu ini masih dikuasai syaitan kamu. Aisyah terperanjat lalu bertanyakan Baginda apakah setiap manusia dibekalkan syaitan? Lalu Rasulullah SAW menjawab: Ya, saya sendiri mempunyai satu syaitan, tetapi syaitan saya sudah masuk Islam.”

Golongan insan yang sukar diperdaya iblis dan syaitan adalah mereka yang meletakkan sifat ikhlas dan jujur di puncak ibadat kepada Allah. Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan tiadalah mereka diperintah melainkan supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dengan berterusan.” (Surah al-Bayyinah, ayat 5)

Firman Allah lagi yang bermaksud:

“Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagi kamu semua, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi). Sebenarnya dia hanyalah mengajak manusia supaya menjadi penghuni neraka.” (Surah al-Fatir, ayat 6)

Kekuatan dan iltizam serta istiqamah dalam diri boleh menyingkirkan keempat-empat halangan melakukan ibadat kepada Allah. Selain niat yang ikhlas, kekuatan melawan bisikan supaya terus lalai memudahkan seseorang melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah Allah.

Pada masa sama, sentiasa berusaha memperbaiki diri dengan mendalami ilmu agama serta meningkatkan keimanan melalui amalan sunat kerana kesibukan melakukan perkara baik dapat mengelak daripada terjebak dengan hasutan membawa kepada kelalaian.

INFO: Penghalang ibadat

  1. Dunia - semua perkara yang tidak memberi manfaat apabila seseorang kembali ke hadrat Ilahi seperti wang, harta menimbun atau pangkat.
  2. Gangguan makhluk - termasuk anak, ternakan dan harta yang boleh melalaikan manusia sehingga lupa kewajipan menunaikan ibadat.
  3. Nafsu - keinginan yang sentiasa merajai diri dan sukar dilawan sehingga terus subur dalam diri setiap insan.
  4. Iblis dan syaitan - menggoda dengan pelbagai cara supaya manusia mengikut mereka ke arah kesesatan sehingga kiamat.

Mensyukuri nikmat

Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

”Sesungguhnya Allah mengurniakan kepada sesuatu kaum itu nikmat yang kekal berada bersama mereka selagi digunakan untuk menunaikan hajat mereka yang memerlukan. Apabila mereka ini berpaling daripada berbuat sedemikian maka Allah akan pindahkan nikmat tersebut kepada kaum yang lain pula.”
Â
(Riwayat Tabrani)

Huraian :

i) Segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada kita hendaklah digunakan bertepatan dengan tujuan ia diberikan. Itulah tanda kesyukuran yang dituntut oleh Islam.

ii) Setiap muslim janganlah bersifat kedekut untuk melakukan amal kebajikan dan bersedia memperbaiki segala amal perbuatannya kerana Allah akan memberi ganjaran walau sekecil mana pun amalan tersebut.

iii) Kita hendaklah mengambil pengajaran di atas kesusahan yang menimpa orang lain agar terbit rasa bersyukur di dalam diri dan supaya kita tidak mempersia-siakan nikmat yang diperolehi kerana nikmat yang disalahgunakan dan tidak disyukuri akan ditarik balik oleh Allah S.W.T.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Buat baik dulu sebelum suruh orang lain

Tajdid Iman:
Oleh Dr Juanda Jaya
Juanda@msu.edu.my

gurudidkanak.jpgGURU mendidik anak untuk jadi bijak, sehingga mereka menemukan jalan terang.

Lihat dengan hati kerana pandangan mata selalu gelap, tak mampu menilai hakikat

MATA suka memandang dan mempengaruhi hati supaya menjatuhkan hukuman terhadap orang yang dipandang. Walaupun baru sekali berjumpa, ada yang sudah bijak menilai orang lain semata-mata dengan asas prasangka buruk.

Orang itu jahil, si polan fasik, jiran kamu sombong, kawan kamu penipu, suami kamu pembohong, beliau yang dihormati itu sebenarnya zalim, saudara kamu munafik, khianat, penjenayah, perampas hak orang dan segala kejahatan hanya milik mereka yang hadir dalam kehidupannya. Itulah mata jahat yang bersatu dengan hati busuk.

Tetapi kadang-kadang mata dan hati boleh tertipu oleh rupa paras dan tingkah laku orang yang dilihatnya. Baru sekali duduk minum dan mendengar tutur bicara halus dan idea bernas, terus percaya kepada orang di hadapannya itu umpama malaikat.

Semua baik, tidak ada cacat dan celanya. Akhirnya tertipu oleh imej palsu yang dilihat dengan cermin mata suram. Bertolak daripada kebaikan dan keburukan yang dilihat melalui mata zahir maka manusia terus mencari jalan tengah supaya dia dapat membuat penyesuaian dengan persekitaran secara selamat.

Sikap terbaik ketika menjalinkan hubungan dengan orang lain ialah ambil manfaat daripada kebaikannya saja, usah peduli dengan aib orang itu dan berhati-hati supaya diri tidak dimanipulasi. Namun begitu kita berasa diri diperhati tanpa mahu mengaku bahawa kita juga suka memerhati orang lain.

Sebenarnya sikap suka memerhati ini boleh memberi kesan positif dalam diri iaitu dengan syarat, perhatian itu hanya kepada mutiara kebaikan saja. Adapun keburukan orang lain, cukuplah dijadikan sempadan tanpa disertai celaan kepada orang itu kerana tiada siapa yang sempurna di dunia ini.

Jika setiap orang mengenal dirinya sendiri dengan sedalam-dalamnya nescaya tiada seorangpun tergamak menghina keaiban orang lain kerana dia masih melihat kelemahan yang banyak dalam dirinya sendiri. Alangkah eloknya jika kita menumpukan perhatian kepada kelebihan dianugerahkan Allah kepada orang lain untuk mengambil faedah daripadanya.

Antara manfaatnya ialah:

  • Menghilangkan rasa ujub pada diri sendiri.

Hati manusia berubah-ubah, ada kala hari ini baik, esok pula belum tentu, hari ini angin yang bertiup itu sepoi-sepoi bahasa, namun tidak mustahil boleh bertukar menjadi puting beliung yang mengganas.

Oleh itu, semua penilaian mengenai seseorang itu sifatnya relatif, boleh berubah-ubah seperti kenyataan Rasulullah SAW yang mengakui bahawa manusia dicipta dengan hati yang berbolak-balik sehingga Baginda mengajarkan umatnya supaya berdoa dengan sabdanya yang bermaksud:

“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku pada agama-Mu.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi dan Imam Ahmad)

Manusia adalah makhluk yang relatif berubah, sehingga tidaklah boleh dinilai secara mutlak. Jika kita mahu mengambil manfaat daripada orang lain maka ambillah teladan daripadanya ketika dia berada di atas kemuncak kebaikannya.

Jangan sesekali melihat ketika dia jatuh, lemah, berdosa, penuh aib dan cela kerana jika kita suka melihat saat dia di bawah maka rasa ujub akan menguasai diri. Boleh jadi kita akan berkata: “Alangkah baiknya agamaku, amal dan ilmuku, keluarga dan kehidupanku jika dibanding dengan dirinya! Betapa buruk perangai orang itu, zalim sungguh tangannya, tamak dan kedekut sifatnya, kasar dan kurang ajar perangainya, tidak ada kebaikan langsung berbanding diriku!

  • Menyuntik semangat berlumba-lumba ke arah kebaikan.

Orang yang suka memerhati potensi saudaranya tidak seharusnya melahirkan rasa dengki, cemburu dan iri hati. Hanya orang yang berjaya saja yang boleh menjadikan kehebatan potensi orang lain sebagai inspirasi dan penyuntik semangat untuk lebih berjaya.

Al-Quran menyindir perangai orang yang suka mendengki terhadap kehebatan orang lain seperti Rasulullah SAW pernah menjadi mangsa kedengkian mereka. Firman Allah yang bermaksud:

“Orang kafir dari Ahli Kitab dan orang musyrik tidak suka kiranya diturunkan kepadamu sesuatu kebaikan daripada Tuhanmu. Padahal Allah berhak menentukan rahmat-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah jugalah yang mempunyai kurnia yang amat besar.” (Surah Al-Baqarah, ayat 105)

Ayat itu memberi amaran kepada diri kita yang mungkin sedikit sebanyak menyimpan dengki. Betapa seseorang itu menjadi hamba yang membangkang atas keputusan Allah memilih orang lain untuk diberi anugerah.

Maka pandanglah dengan hati kerana pandangan mata itu selalunya gelap tidak mampu melihat hakikat, sedangkan hati yang suci suka memandang dengan pandangan Tuhannya. Apa yang baik menurut Allah itulah yang baik baginya dan sebaliknya.

  • Sumber inspirasi, muhasabah diri.

Sesiapapun boleh menjadi sumber inspirasi. Jangan pedulikan keburukan orang di sekitar kita dan terus perhatikan kebaikan mereka. Suami boleh menjadi cermin kepada isteri tanpa menafikan kelemahannya. Ibu menjadi cahaya bagi anaknya walaupun dirinya tidak berpelajaran tapi jiwanya cukup arif membahagi cinta.

Guru menjadi penyelamat anak yang bodoh, lembap dan bingung sehingga mereka menemukan jalan terang walaupun guru juga memiliki kekurangan peribadi tetapi jangan dinafikan merekalah sebenarnya paling berpengaruh mewujudkan cita-cita setiap insan.

Siapapun yang berjasa, berbuat baik dan berjaya mereka tidak terlepas daripada cacat cela. Tetapi untuk apa mempersoalkan yang negatif jika yang positif itu mampu menghapus yang negatif? Tiada insan sempurna, berilah peluang kepada siapapun di sekitar kita untuk menjadi sumber inspirasi dalam hidup.

Jika kita sudah mengambil manfaat daripada kelebihan orang lain, bagaimana pula menjadikan keburukan dan aib mereka sebagai sempadan?

Seorang Muslim bukanlah mereka yang memilih untuk diam apabila melihat kemungkaran berlaku di sekeliling mereka. Mereka bukan orang yang penakut, takut menyatakan yang salah itu salah dan yang benar itulah hakikatnya.

Mereka tidak takut menyuarakan jalan inilah yang Allah reda dan jalan itu sebaliknya. Seorang Muslim berkewajipan memandang, menilai dan menasihati saudaranya jika berbuat silap seperti tuntutan agama yang mahu amar makruf dan nahi munkar ditegakkan.

Apabila melihat aib orang lain, berusaha membantu diri sendiri kemudian orang lain ke arah kebaikan. Langkah pertama ialah pastikan diri kita sudah berada di jalan yang benar, lurus dan diredai Allah kemudian barulah kita boleh menuntun tangan saudara kita ke sana.

Apa yang disampaikan mestilah diamalkan terlebih dulu. Lidah, hati dan amal perbuatan mesti selari, sehati dan sejiwa langsung tiada unsur munafik. Prinsip amar makruf nahi munkar yang betul ialah buat dulu kemudian suruh orang lain.

Allah amat membenci perangai orang yang cakap tidak serupa amal ini melalui firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai orang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan.” (Surah al-Shaff, ayat 2-3)

Ada pula yang bermulut manis dan menyatakan pujian di hadapan saudaranya tapi di belakang mengata lain, bermuka-muka dan menikam dari belakang. Bahkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Jika kamu melihat orang yang suka memuji (mengampu) di hadapan kamu, maka taburkanlah debu tanah di mukanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sebaik-baiknya setiap Muslim berhati-hati dengan pemuji yang melampau ini kerana mereka akan mencela dengan melampau juga.

Menggunakan ayat penuh rahmat bukan ayat kesat dan menyimpan emosi negatif. Mengapa nasihat yang kita beri kepada isteri, anak dan saudara kita tidak berjaya? Puncanya kerana tiada hubungan kasih sayang kerana Allah.

Kaedah dan cara menasihat pun tidak mengikut petunjuk Allah dan Rasul-Nya. Di samping itu, faktor emosi yang susah dikawal sehingga melahirkan nasihat berunsur kemarahan, kritikan pedas dan sindiran tajam menjadi penghalang keikhlasan dalam memberi nasihat.

Nyata begitu susahnya bergaul dengan manusia di sekeliling kita. Bukan hanya kesabaran dituntut tetapi keberanian untuk merasai sakit juga diperlukan dalam menjalinkan persaudaraan. Mungkin itulah sebabnya mengapa ramai memilih menyendiri dan tidak pedulikan orang lain. Tetapi sampai bila kita boleh bertahan? Pastinya yang terbaik ialah mencari kekuatan diri dalam persaudaraan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Orang mukmin yang bergaul dengan manusia dan bersabar atas gangguan mereka lebih baik daripada orang mukmin yang tidak bergaul dan tidak bersabar atas gangguan mereka.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Adaptasi adalah suatu proses membentuk rasa cinta dan kasih sayang. Sesiapa yang tidak sabar melaluinya dia tidak akan merasai kenikmatan menjalinkan hubungan sesama insan. Waspadalah dengan sikap antisosial. Ia boleh menghalang seseorang mendapat rahmat Allah. Adapun tanda seseorang mendapat rahmat-Nya adalah ketika manusia tertarik dengan keperibadiannya.

- Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui Juanda@msu.edu.my

Teman tapi mesra

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

TEMAN tapi mesra. Ungkapan terbabit sering kedengaran di bibir anak muda, tetapi kadangkala mengelirukan bagi sesetengah pihak, namun yang pasti ia merujuk kepada perhubungan antara lelaki dan perempuan.

Berkawan tidak salah, bahkan digalakkan kerana ia selaras dengan fitrah dan membawa banyak manfaat sehinggakan dapat membuatkan hidup lebih ceria.

forbidden.jpg

Cuma, berwaspada apabila kawan lebih daripada had, terlalu rapat dan intim, malah sanggup mengorbankan harga diri.

Justeru, Islam menasihati umatnya sentiasa memelihara kesopanan dan tata cara sepanjang masa, terutama apabila bersosial dan berkawan, supaya kebaikan terjaga.

Ulama tersohor, Sheikh Yusuf Al-Qaradawi, berkata hubungan di antara lelaki dan wanita tidak ditolak secara keseluruhan.

Bagaimanapun, beliau menggariskan beberapa syarat hubungan di antara kedua-dua jantina terbabit, dengan saling merendahkan pandangan dan memastikan tiada pandangan yang disusuli nafsu.

Menurutnya, wanita Islam juga patut prihatin terhadap kod pakaian Islam, yang menutupi seluruh badan, tidak ketat dan menggambarkan bentuk badan.

“Akhlak yang umum sepatutnya diamalkan. Dalam perkataan lain, seorang wanita sepatutnya serius dalam ucapan dan tertib cara berjalan dan melawan godaan syaitan. Tiada wangian dipakai dari rumah.”

Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: “Mana-mana wanita yang memakai wangian dan kemudian berjalan melalui sekumpulan lelaki dan mereka mencium wangian itu, dia adalah penzina.”

Al-Qaradawi juga berkata, lelaki dan wanita (bukan mahram) tidak dibenarkan bersama di satu tempat yang tiada lelaki lain.

Bagaimanapun, perkembangan mutakhir mendapati fenomena memiliki teman istimewa kian menjadi-jadi, seolah-olah ia suatu kebiasaan.

Bagaimanpun, apabila teman terbabit berkelakuan di luar jangkaan, timbullah keburukan, malah bagi pelajar prestasi pelajaran merosot, selera makan menurun, bahkan untuk hidup pun tidak bersemangat.

Bekas Presiden Masyarakat Islam Amerika Utara (ISNA), Dr Muzammil Siddiqi, berkata Muslim memang sepatutnya mempunyai hubungan yang baik dengan semua orang, lelaki dan wanita, di sekolah, tempat kerja dan kawasan kejiranan.

Tetapi Islam tidak membenarkan mengambil orang bukan mahram sebagai kawan rapat kerana hubungan seperti itu kerap membawa perkara haram.

“Ini memungkinkan mereka melakukan dosa atau menghabiskan banyak masa bersama,” katanya sambil mengemukakan ayat 25 Surah an-Nisa sebagai satu hujah atas dakwaan berkenaan.

Perhubungan intim yang membawa kepada pertemuan sosial atau ‘dating’ boleh mengundang pelbagai mala petaka, seperti rogol, pembunuhan dan persundalan.

Fenomena itu mula bercambah ketika muzik Barat mula memekik dari kereta dan pasangan muda berpegangan tangan di kafeteria. Malah, seks sebelum perkahwinan menjadi suatu fenomena yang semakin menjadi-jadi sejak era revolusi seks 1960-an.

Jurnal Persatuan Perubatan Amerika ada melaporkan, peningkatan bilangan gadis mengadakan pertemuan sosial, berisiko berdepan dengan kekejaman, hamil, penderaan, bahaya tingkah laku seksual dan membahayakan diri.

Berikutan itu, ramai di kalangan gadis menderita secara senyap, tidak memberitahu sesiapa kerana takut atau malu.

Walaupun sesetengah mereka cuba memilih untuk bersuara bagi mendapatkan pembelaan, ia hanya membabitkan sebilangan kes tertentu.

Hari ini, bukan sedikit anak muda yang berada dalam keadaan mengelirukan dan keterpaksaan, bersama masa depan yang kabur selepas terjebak dalam perhubungan intim dengan pasangan masing-masing.

Oleh itu Islam menasihati umatnya berwaspada apabila bersosial dan jangan sampai merugikan diri dan keluarga.

Hakikatnya berkawan tidak salah tetapi jika melanggar nilai agama lebih-lebih lagi bertemu dan berdua-duaan, ia dilarang sama sekali.

Sheikh Ahmad Kutty, dari Institut Islam Toronto, Kanada, berkata pertemuan sosial tentu tidak dibenarkan.

Menurutnya, Islam melarang umatnya berdua-duaan dengan pasangan berlainan jantina kecuali hubungan persaudaraan atau perkahwinan.

“Tidak dibenarkan menurut kehendak nafsu secara bebas, bergaul sembarangan dan bercampur dengan kawan berlainan jantina,” katanya.

Nabi Muhammad s.a.w menegaskan: “Apabila seorang lelaki dan wanita duduk bersama mereka ditemani teman ketiga (yang membisikkan kejahatan kepada mereka).”

Katanya, Allah memerintahkan kita bukan saja menahan diri daripada zina tetapi menjauhi daripadanya.

“Menurut hukum ahli fiqah, perkara yang membawa kepada haram juga diputuskan haram. Justeru, apabila pertemuan sosial itu membawa kepada dosa, ia diputuskan haram.

“Jika untuk mengetahui wanita terbabit bagi tujuan perkahwinan, ia dibenarkan tetapi tertakluk kepada etika Islam,” katanya.

Huru-hara tanda hampirnya kiamat

Oleh Zuridan Mohd. Daud

Malapetaka yang melanda dunia hari ini memberikan satu isyarat kepada kita bahawa usia dunia sudah semakin lanjut ibarat seorang tua yang pernah digambarkan di dalam peristiwa Israk dan Mikraj.

Jika ketika itu usia dunia diumpamakan dengan seorang wanita tua yang sudah bongkok, bagaimanakah pula wanita tua itu di waktu ini?

Fenomena ketidakstabilan alam yang berlaku saban hari waktu ini seolah-olah tidak dapat dibendung lagi. Gempa bumi, tanah runtuh, banjir besar, peperangan, pembunuhan, kemalangan maut dan kesuburan maksiat semakin menjadi-jadi.

Sebagai contoh banjir kilat yang melanda di tengah-tengah kesibukan kotaraya Kuala Lumpur. Meskipun kecanggihan teknologi yang digunakan didakwa boleh membendung kejadian ini dari berlaku namun kuasa Allah tiada siapa dapat menghalangnya.

Sebagai seorang muslim yang beriman, kacau bilau yang berlaku tidak seharusnya dibiarkan berlalu tanpa sebarang iktibar dan renungan. Mengaitkan apa yang berlaku hanya dengan perubahan cuaca global dan faktor alam semulajadi hanya membutakan iman kita.

Jika diteliti ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w pastinya terdapat panduan yang boleh memberikan penjelasan mengenai suasana yang berlaku hari ini.

Sabda Rasulullah s.a.w, “Hari kiamat tidak akan berlaku hinggalah harta benda menjadi melimpah ruah kemudian timbulnya bermacam fitnah dan banyaknya berlaku al-Harj. Sahabat bertanya baginda: Apakah al-Harj itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Pembunuhan! Pembunuhan! Pembunuhan! Sebanyak tiga kali”. (Riwayat Ibnu Majah)

Perkataan al-Harj jika dilihat di dalam konteks hadis ini ia merangkumi makna yang lebih luas iaitu peperangan, huru-hara dan kacau bilau yang berlaku. Sebabnya semua suasana ini boleh membawa kepada hilangnya rasa selamat dan keamanan hidup manusia. Dalam erti kata lain ia membunuh kesejahteraan hidup manusia.

Di dalam hadis yang lain Nabi s.a.w pernah bersabda, “Barang siapa yang mahu melihat gambaran hari kiamat seolah-olah ia melihat dengan matanya sendiri, maka bacalah (surah-surah): (Apabila matahari digulung) dan (Apabila langit terbelah) dan (Apabila langit berkecai/terbelah)”. (Riwayat Imam Ahmad dan al-Tarmizi).

Ketiga-tiga ayat yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w di atas ialah surah At-Takwir, Al-Infitar dan Al-Insyiqaq. Di dalam surah Al-Takwir Allah s.w.t menyatakan bahawa pada hari kiamat matahari yang gagah di langit akan digulung, bintang-bintang akan jatuh berguguran, gunung-ganang yang nampak gagah hancur berkecai. Allah juga menyatakan bahawa laut yang luas akan menjadi panas meluap-luap.

Di dalam surah Al-Infitar pula Allah menambah lagi penjelasan tentang fenomena kiamat dengan menyatakan akan terbelah dan terburainya langit kemudian bumi akan memuntahkan apa yang dikandungnya.

Begitu juga di dalam surah Al-Insyiqaq, Allah menjelaskan sekali lagi bahawa langit akan terbelah manakala bumi akan menjadi rata akibat kehancuran gunung-ganang dan bukit-bukau.

Menariknya di dalam ketiga-tiga surah ini dijelaskan bahawa ketika berlakunya suasana kacau bilau ini barulah manusia teringat akan apa yang telah dilakukan dan diabaikan. Di saat itu barulah timbul kesedaran dan keinsafan. Namun semuanya telah terlambat kerana pintu taubat sudah tertutup.

Setiap manusia akan berdepan dengan mahkamah Allah yang tiada langsung peluang untuk menipu dan berbohong. Setiap wajah akan tunduk memandang bumi, menunggu perbicaraan di Mahkamah Allah. Apakah selamat atau sebaliknya?

Membaca ketiga-tiga surah bukan sahaja boleh memberikan ilmu tentang fenomena kiamat malah boleh menimbulkan kegerunan dan ketakutan terhadap situasi dahsyat yang akan berlaku.

Cuba lihat matahari yang gagah di atas langit yang akan bergulung-gulung. Bayangkan pula langit yang kukuh akan terburai dan memuntahkan bintang-bintang hingga gugur ke bumi. Apakah ia tidak menggerunkan kita?

Perkara yang paling menakutkan apabila Allah bertanya: (Apakah yang memperdayakanmu hingga sanggup derhaka (waktu di dunia) kepada Tuhanmu Yang Maha Mulia). (Al-Infitar: 6).

Ayat ini seolah-olah satu tempelak terhadap manusia yang tidak mahu insaf meskipun peluang diberikan seluas-luasnya ketika hidup di dunia.

Gambaran ketakutan ini dinyatakan oleh Allah dengan menggunakan bahasa kiasan. Firman Allah, Dan apabila unta-unta bunting ditinggalkan. (At-Takwir: 4).

Unta adalah harta paling berharga di tanah Arab pada zaman baginda s.a.w. Unta merupakan kenderaan kelas pertama yang terdapat ketika itu. Apa yang dimaksudkan di dalam ayat ini ialah, ketika berlakunya kiamat setiap manusia akan takut dan risau dengan nasib diri sendiri hingga lupa kepada harta benda dan kemewahan yang dimiliki.

Begitulah sebahagian dari gambaran panjang lebar yang dijelaskan oleh Allah s.w.t. tentang fenomena hari kiamat di dalam ketiga-tiga surah di atas. Bagi seorang yang beriman pencarian tentang bila berlakunya hari kiamat adalah merupakan kerja sia-sia, malah ia boleh membawa kepada kesesatan akidah.

Justeru apabila Nabi s.a.w ditanya oleh Jibril a.s tentang bila berlakunya kiamat, Baginda menjawab: “Yang bertanya lebih tahu dari yang ditanya. Kerana baginda s.a.w hanya dimaklumkan tentang tanda-tandanya sahaja”. Tarikh berlakunya kiamat hanya menjadi rahsia Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa.

* Zuridan Mohd. Daud ialah Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan Universiti Malaysia Pahang.

Tiga golongan layak jadi penghuni syurga

SESEORANG yang beriman belum tentu ia seorang bertakwa tetapi jika seseorang itu bertakwa, sudah tentu ia orang yang beriman. Dalam al-Quran, Allah menggesa orang yang beriman supaya bertakwa kepada Allah dengan sebenar-benar takwa.

Firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan sebagai Muslim.” – (Surah ali-Imran, ayat 102)

Ayat ini menjelaskan tidak semua orang yang beriman itu benar-benar bertakwa hinggakan Allah menegur mereka supaya menjadi orang yang bertakwa dengan melakukan amal salih. Mereka yang sudah beriman, beramal salih dan bertakwa disediakan Allah ganjaran syurga.

Ketahuilah bahawa dalam syurga terdapat nikmat yang tidak pernah terlintas oleh mata, telinga dan hati manusia. Inilah kebesaran Allah terhadap hamba-Nya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Untuk hamba-Ku yang salih, Aku sediakan kesenangan yang tidak pernah terlintas oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah sedikitpun terlintas dalam hati manusia.“– (Hadis riwayat Imam Ahmad, Tirmizi dan Ibn Majah)

Inilah kehebatan Allah dalam menyediakan ganjaran kepada hamba-Nya yang melakukan kebaikan.

Melalui hadis itu dapat difahami bahawa, Allah memberitahu kepada hamba-Nya mengenai nikmat dan kesenangan yang akan diberikan kepada hamba-Nya yang salih. Bermacam corak ragam serta bentuk nikmat kesenangan yang disediakan itu menandakan keagungan dan kebesaran-Nya.

Nikmat itu sebenarnya tidak dapat digambarkan atau dilukiskan dengan tepat seperti adanya, kerana ia bersifat kekal abadi, tidak luntur dan lusuh, jauh sekali daripada menjadi buruk atau seumpamanya yang membawa kepada kehancuran. Inilah nikmat yang perlu direbut manusia.

Manusia yang beriman kepada Allah mesti bersyukur kepada-Nya kerana mereka dihidupkan sebagai seorang Muslim dalam agama Islam dibawa junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan inilah nikmat terbesar diterima umat Islam yang balak menghuni syurga Allah.

Untuk menghuni syurga Allah, al-Quran menerangkan ciri hambanya yang layak terdiri daripada orang beriman lagi bertakwa :

  • Pertama ialah mereka yang menjauhi penyembahan berhala iaitu menjauhkan diri daripada mensyirikkan Allah yang boleh menyebabkan seseorang menjadi murtad dan orang yang mendengar arahan Allah dengan mengikutnya melakukan kebaikan, menjauhi larangan-Nya.

Dengan melakukan kebaikan dan menjauhi larangan Allah, jelaslah mereka itulah orang yang bertakwa. Firman Allah yang bermaksud:

“Bagi mereka yang menjauhi penyembahan berhala dan kembali mentaati kepada Allah, tersedia khabar gembira. Beritakanlah khabar gembira itu kepada hamba-Ku yang mahu mendengarkan kata-kata (yang hakikatnya dari Allah) lalu mereka mengikuti kata-kata yang terbaik. Mereka itulah orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal.” – (Surah al-Zumar, ayat 17-18)

  • Kedua ialah orang yang beriman dan beramal salih dengan segala suruhan dan menjauhi segala larangannya. Ini dijelaskan Allah melalui firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai hamba-Ku yang salih, tidak ada rasa takut pada diri kalian di hari ini (hari Kiamat) dan tidak pula kalian rasa sedih. Mereka itulah orang yang beriman kepada tanda kebesaran kami dan mereka yang Islam (menyerah diri kepada Allah).” – (Surah al-Zukhruf, ayat 68-69)

Dalam ayat ini Allah menjelaskan sifat hambanya yang beriman iaitu mereka yang rasa takut pada hari kiamat dan tidak pula berasa sedih untuk meninggalkan dunia kerana mereka adalah orang yang tunduk patuh kepada peraturan Allah di atas muka bumi semasa hayatnya.

  • Ketiga ialah orang Islam. Sesungguhnya syurga itu adalah tempat orang naik saksi bahawa tiada Tuhan berhak disembah melainkan-Nya dan mengakui Nabi Muhammad SAW itu adalah hamba dan utusan-Nya.

Apabila orang yang sudah mengakui syahadah, walaupun sebelum itu mereka berada dalam kekufuran akan dimasukkan Allah dalam syurga-Nya kerana ia adalah tempat kembali bagi orang yang sudah memeluk agama Islam.

Ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan yang sebenarnya berhak disembah kecuali Aku. Rahmat-Ku sudah mendahului kemurkaan-Ku. Barang sesiapa yang naik saksi bahawa tiada Tuhan yang sebenarnya berhak disembah kecuali Allah dan Nabi Muhammad SAW adalah hamba dan utusan-Nya, nescaya ia berhak mendapat syurga.” – (Hadis diriwayatkan al-Daimali)

Inilah ciri manusia yang akan menjadi penghuni syurga kelak. Sesungguhnya beruntunglah mereka yang akan menjejakkan kaki ke sana kerana ia adalah tempat yang tidak ada bandingnya dengan tempat dilihat manusia di atas muka bumi ini.

Alam kubur perhentian sebelum kehidupan abadi di akhirat

Oleh Masmawi Abdullah

MANUSIA di dunia ini ibarat musafir yang sedang dalam perjalanan lalu berehat di bawah sepohon pokok untuk melepaskan lelah dan berehat seketika sebelum meneruskan ke destinasi yang hendak dituju.

Perjalanan itu pula masih jauh dan terpaksa melalui pelbagai liku serta cabaran. Inilah gambaran matlamat sebenar hidup insan yang hendak dicapai. Pentas dunia hanya tempat untuk bercucuk tanam dengan amalan salih sebagai bekalan di akhirat nanti.

Sebelum manusia berpindah ke alam akhirat mereka akan menempuh satu alam dinamakan alam barzakh dan di sana mereka akan menjawab soalan ditujukan malaikat kepada mereka. Di sinilah penentu kejayaan di alam akhirat nanti sama ada manusia itu akan masuk ke syurga atau neraka.

Persoalan kubur termasuk dalam pokok keimanan terhadap alam ghaib seperti mana kita wajib percaya akan adanya syurga, neraka, malaikat dan hari kiamat. Dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang sahih banyak diterangkan perkara di atas yang menuntut setiap orang meyakini adanya alam selepas kehidupan duniawi.

Ia dikenali dengan perkara ‘sam’iyat’ iaitu perkara yang hanya diketahui melalui perkhabaran, tidak dapat dilihat oleh mata dan tidak terfikir akal. Beriman kepada alam ghaib adalah ciri orang beriman.

Allah berfirman yang bermaksud: “Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (mengenai datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya), ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang beriman kepada perkara ghaib dan mendirikan solat serta membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang kami berikan kepada mereka.”

Walaupun ada sesetengah agama mempercayai adanya kebangkitan selepas kematian di alam roh tetapi mereka menyeleweng daripada konsep dipegang Islam. Sebahagian lagi terus kufur dan menolak kerana mereka berdasarkan logik serta akal fikiran semata-mata, menganggap bahawa hidup hanya di atas dunia ini saja.

Golongan itu dijelaskan Allah dalam firman yang bermaksud:

“Dan tidakkah manusia fikirkan bahawa Kami jadikan dia dari setitik mani, tetapi tiba-tiba ia (jadi) pembantah yang nyata.” - (Surah Yasin, ayat 77)

Kesimpulan yang boleh dibuat manusia di dunia ini diklasifikasikan dalam tiga golongan iaitu mereka yang beriman dengan adanya alam ghaib melalui as-samiyat, percaya ada alam ghaib berdasarkan kepercayaan dan kufur dengan alam ghaib.

Kubur adalah perhentian pertama setelah seorang hamba itu meninggal dunia dan kemudian tempatkan di alam arwah sehingga hari kiamat. Di sinilah penentuan kebahagiaan kecelakaan yang abadi.

Hadis Abi Said mengatakan, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Kubur itu adalah salah satu lubang neraka, atau salah satu taman syurga.”

Adapun arwah orang yang beriman akan sentiasa dalam rahmat dan peliharaan Allah tidak kira di mana mereka berada. Bagaimanakah seseorang itu akan menghadapi persoalan kubur?

Adapun roh orang yang beriman dijelaskan Allah dalam firman yang bermaksud:

“Setelah menerangkan akibat orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang beriman dan beramal salih akan disambut dengan kata-kata: Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya, kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan), lagi diredai (di sisi Tuhanmu). Serta masuklah dalam kumpulan hamba-Ku yang berbahagia, dan masuklah ke dalam syurga-Ku.” - (Surah al-Fajar, ayat 27-30)

Kemudian apabila seseorang hamba Allah meninggal dunia, selepas dikebumikan dan ditinggalkan kuburnya lalu datanglah dua malaikat iaitu Mungkar dan Nakir yang ditugaskan untuk menyoalnya.

Jika ia beriman dan beramal salih, maka diberikan taufik oleh Allah menjawab persoalan dengan mudah. Kemudian dibuka baginya pintu syurga dan diperlihatkan syurga ke atasnya dan berbahagialah dia sehingga hari kiamat.

Namun jika orang itu kafir atau munafik, mereka akan menjawab tidak tahu. Lalu akan menerima seksaan kubur yang dahsyat. Suara teriak mereka dapat didengar oleh makhluk lain kecuali manusia dan jin.

Menurut Syeikh Abdullah Al-Fattani dalam bukunya Kasful Qhummah, roh Nabi, syuhada, muttaqin, salihin akan diangkat oleh malaikat ke langit selepas selesai tanya jawab dengan malaikat Mungkar dan Nakir.

Kemudian di angkat ke langit kedua, ketiga, keempat dan seterusnya ketujuh hingga ke Sidratul Muntaha dan di bawa ke Arasy Tuhan. Di sinilah mereka akan ditempatkan dan hidup dengan senang serta bahagia sehingga tiba hari kiamat.

Persoalan kubur tidak terkecuali bagi setiap orang yang meninggal dunia sama ada mereka mati di bumi, laut atau angkasa. Mengenai gambaran azab dan seksa kubur itu dalam pelbagai cara seperti dijelaskan ulama.

Bagaimanapun kita tidak banyak mengetahui rahsia alam roh melainkan apa yang diceritakan al-Quran dan hadis kerana ia adalah urusan Allah. Apabila seseorang berpindah ke alam baqa, bermakna terputuslah segala hubungan dan amalannya di dunia ini melainkan sedekah jariah, ilmu bermanfaat, anak soleh dan juga doa daripada kaum kerabatnya di dunia ini.

Riwayat daripada Ad-Dailami ada menyebut yang bermaksud: “Orang yang mati dalam kuburnya adalah seperti orang sedang tenggelam yang meminta pertolongan. Ia menunggu sampai kepadanya (rahmat) sesuatu doa daripada anaknya, atau saudaranya ataupun sahabat handainya. Apabila (rahmat) doa itu sampai kepadanya, maka tidaklah terkira sukacitanya dan dirasainya ‘rahmat doa itu’ lebih berharga daripada dunia dan segala isinya. Sebenarnya hadiah orang yang hidup kepada orang mati ialah doa dan istighfar.”

Alam sesudah mati ini memberi peringatan bahawa tidak selamanya kita akan kekal di muka bumi ini. Lambat laun kita juga mengikut jejak langkah mereka yang dulu menempuh alam barzakh. Semoga ia memberi keinsafan kepada kita untuk menyediakan bekalan terbaik untuk bekalan akhirat.